KEPUTUSAN kerajaan untuk menyahklasifikasikan rahsia laporan kapal tempur pesisir (LCS) bagi mengelak ia dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rakyat perlu memahami isu sebenar tentang LCS agar ia tidak terjadi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Sebab itu Perdana Menteri ada sebut bahawa ada keterbukaan dalam siri laporan yang nak dilaporkan.
“Jadi, mana yang boleh diklasifikasi sebagai bukan lagi rahsia bagilah rakyat tahu apa-apa yang sepatutnya,” katanya kepada media.
Mahdzir berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pusat Daya Maju Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Padang Terap di Kuala Nerang hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu LCS jika tidak dikendalikan dengan betul ia akan menjadi isu 1MDB yang digunakan pembangkang sehingga menyebabkan BN kalah.
Pada 16 Ogos lalu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek
LCS, membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.
Tertuduh, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, yang juga Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang memakai kot hitam dan berkemeja putih bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengarah Urusan BNS melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dengan curang meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.- Malaysiapost

