5 pemancing terkandas 15 jam di Pulau Batu Berantai

0
2

LIMA pemancing berdepan detik cemas apabila terkandas 15 jam di Pulau Batu Berantai akibat cuaca buruk kira-kira 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis, Jeram, Selangor.

Identiti kelima-lima mangsa itu adalah Mohd Yazid Basir, 37, Zamri Romli, 39, Mohd Razwan Hussin, 48 Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon, 65.

Mereka yang berasal dari Tanjung Karang dan Jeram bagaimanapun berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 10.20 pagi semalam.

Menurut Mohd Razwan, sebelum kejadian dia bersama dua lagi mangsa dari Tanjung Karang dihantar menaiki sebuah bot ke Pulau Batu Berantai pada jam 7.20 malam kelmarin, dan sepatutnya pulang pagi semalam.

“Namun sekitar jam 8.30 pagi, bot itu tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram di lokasi kejadian kerana pengendali bot mempunyai urusan lain di Pulau Angsa.

“Setelah itu, bot itu akhirnya tidak muncul dan dipercayai terkandas akibat cuaca buruk sebelum mereka melihat pesawat helikopter Maritim Malaysia berlegar di kawasan perairan tersebut lalu mereka melambaikan tangan meminta pertolongan kerana bimbang keadaan laut semakin membahayakan,” katanya.

Tambah Razwan, mereka tidak dapat menghubungi sesiapa bagi meminta pertolongan kerana barang-barang peribadi mereka seperti telefon bimbit dan peralatan seperti jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak dan arus laut

Sementara itu, Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kapten Maritim Syed Islam Shahajam berkata, ketika kejadian, pesawat AW139 yang diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi sebagai Komander Pesawat bersama pembantu juruterbang, Leftenan komander Maritim Azizi Zalkepeli dan tiga lagi kru pesawat termasuk perenang penyelamat berlepas dari SUMS pada jam 9.30 pagi.

Menurutnya, pesawat itu menuju ke perairan Kapar, Klang bagi melakukan rutin latihan penerbangan termasuk latihan ‘winching’ sebelum menjumpai sekumpulan pemancing tersebut.

“Keputusan pantas untuk menyelamatkan lima pemancing itu dibuat oleh juruterbang sebaik sahaja menyedari lambaian meminta tolong.

“Dan keadaan laut bergelora di kawasan itu boleh merisikokan nyawa pemancing sekiranya mereka hanyut kerana tidak memakai jaket keselamatan.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh ‘rescue swimmer’ Maritim Malaysia yang membawa mereka naik ke atas pesawat menggunakan teknik ‘winching’ dan memindahkan mangsa menggunakan tali sekitar jam 10.25 pagi,” katanya.

Beliau berkata, setelah dipindahkan ke pesawat, kesemua pemancing segera diterbangkan ke SUMS untuk mendapatkan rawatan kerana mangsa dalam keadaan lemah dan masih trauma.

“Sejurus kesemua mangsa tiba di SUMS, mereka diberikan rawatan awal oleh pengamal perubatan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Klang dengan menaiki lima ambulans,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati agar pemancing yang ingin ke laut perlu melakukan persiapan sewajarnya selain mengambil langkah berwaspada dan merancang lebih awal sebarang aktiviti yang hendak dilakukan.

“Selain mengambil ikhtibar daripada kejadian yang berlaku ini, agar tragedi sama tidak berulang lagi.

“Komuniti pemancing juga diingatkan, agar segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan memiliki peranti kecemasan peribadi ‘Personal Locator Beacon’ (PLB) yang memudahkan kedudukan mereka dikesan pasukan penguat kuasa dan CARILAMAT sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here