SEORANG wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki terbabit dalam kematian bayi lelaki berusia empat bulan di bawah jagaannya di sebuah kondominium di Taman Cempaka, Ampang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata laporan berkaitan kematian bayi itu dibuat seorang Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang.
Katanya, mangsa dibawa ke sebuah klinik di Pandan Indah sebelum dibawa ke Hospital Ampang.
“Semasa tiba di Hospital Ampang, mangsa didapati sudah tidak bernyawa.
“Bantuan kecemasan diberikan bagaimanapun mangsa menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.35 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Mohamad Farouk berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menahan wanita berusia 26 tahun yang juga pengasuh kepada mangsa yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Ampang bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – Malaysiapost

