PH janji sambung siasatan LCS jika kembali berkuasa

0
1

PAKATAN Harapan (PH) berjanji akan menyambung kembali siasatan ke atas saga kapal tempur pesisir (LCS) sekiranya gabungan itu kembali berkuasa.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan itu juga berikrar akan melaksanakan strategi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 2020.

Kenyataan membabitkan ketua komunikasi tiga parti komponen PH itu berkata, matlamat gabungan itu adalah untuk memastikan pasukan pertahanan Malaysia dibekalkan dengan kelengkapan yang sesuai dan terbaik untuk menjalankan tugas mereka.

Mereka berkata, PH telah membentangkan Kertas Putih dan memulakan siasatan terhadap LCS kerana adalah penting untuk menjaga keselamatan di kawasan lautan yang merupakan kawasan yang kaya dengan sumber semulajadi dan hidrokarbon.

“Oleh itu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dalam keadaan siapsiaga sepanjang masa untuk mendepani ancaman maritim termasuk dari sudut kelengkapan dan keupayaan aset-asetnya.

“Dengan terdedahnya apa yang berlaku kepada LCS, kami yakin pihak yang paling sedih dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu warga TLDM sendiri di samping rakyat negara ini,” katanya.

Kontroversi perolehan LCS oleh kerajaan kembali menjadi polemik susulan pembentangan laporan siasatan PAC di Parlimen dua minggu lalu, yang menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Laporan itu menjelaskan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek rundingan terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Projek LCS bermula pada 2011 yang mana ketika itu negara ditadbir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diluluskan ketika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here