GERAKAN Tanah Air (GTA) bukanlah gabungan yang ingin memecah belahkan orang Melayu, kata Pengerusi Penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, gabungan itu bukan parti politik sebaliknya sebuah gerakan membela orang Melayu yang menghadapi banyak masalah selama ini.
“Ada tuduhan menyatakan kita memecah belahkan orang Melayu kerana penubuhan gerakan ini. Ini tidak benar kerana apabila kita tubuh gerakan ini kita cantumkan empat parti politik Melayu.
“Parti ini akan berada dalam GTA dan bermakna dalam pilihan raya nanti, mereka tidak lawan sesama mereka dan kita akan sokong calon yang terdiri daripada GTA,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali; Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim dan Parti Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Mengenai logo GTA pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Mahathir menjelaskan, perkara itu akan dibincang bersama empat parti dalam gabungan itu.
Katanya, logo itu akan dihantar kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mendapat kelulusan.
“Dalam mesyuarat ini kita telah bersetuju supaya nama kita ini menekankan tanah air lebih daripada yang lain. Jadi akan diadakan satu logo yang namanya Tanah Air.
“Tetapi kita belum putuskan lagi, namun cara nak buat logo ini sudah kita bersetuju dan kita akan buat perancangan rekabentuk baru dan saya ingat minggu depan akan kita putuskan,” katanya.
Dalam sidang media itu, Dr Mahathir turut mengumumkan beberapa nama untuk jawatan penting dalam GTA bagi melengkap pendaftaran kepada RoS nanti.
Jawatan itu ialah Bendahari dipegang oleh Datuk Mohamad Ismail dari Parti Iman; Ketua Penerangan, Datuk Nizam Mahshar (NGO); Sayap Wanita GTA, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Sayap Pemuda, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dan Sayap Pemudi, Azliza Rajain (Berjasa).
Menurutnya, pengurusan GTA bukan sahaja terdiri daripada parti politik tetapi NGO dan orang perseorangan. – Malaysiapost

