Cepat sangat ‘u-turn’, Zahid wajib beri penjelasan – Fahmi 

0
1

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi wajib menjelaskan kenapa beliau membuat pusingan-U dengan cepat untuk menukar reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) yang Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS). 

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata Presiden Umno itu wajib memberi penjelasan berhubung keputusannya ketika menjadi Menteri Pertahanan apabila menukar reka bentuk LCS daripada SIGMA kepada GOWIND pada 2011. 

Menurut Fahmi, ia sama sekali bertentangan dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didedah Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK). 

Laporan tersebut adalah berhubung projek pembinaan enam LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan di portal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), semalam. 

“Kenapa u-turn cepat betul dari SIGMA ke GOWIND?,” soal Fahmi menerusi hantaran di Facebooknya. 

Menurut laporan itu, Ahmad Zahid pada mulanya bersetuju dengan pendirian TLDM untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda, selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011. 

Namun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengubah keputusan itu kurang dua bulan kemudian dan memilih reka bentuk GOWIND dari Perancis pada 11 Julai 2011, selepas disyorkan oleh BNS. 

Ahmad Zahid menukar pendirian itu hanya dua hari selepas mendapat surat daripada BNS pada 8 Julai 2011 yang mengesyorkan pemilihan reka bentuk GOWIND. 

BNS kemudian mengeluarkan surat niat kepada syarikat subkontraktor Perancis, DCNS pada 13 Julai 2011 untuk memulakan proses reka bentuk konsep dan penilian reka bentuk. 

Sementara itu Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan kenapa beliau tidak melayan surat Panglima Tentera Laut ketika itu. 

“Hari ini, RM6 bilion dah habis, tapi satu kapal pun tak siap,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here