Sedih, namun bangga anak terima anugerah pelajar cemerlang

0
1

SETIAP ibu bapa pasti berharap menyaksikan anak mereka menamatkan pengajian sekali gus berjalan megah merentasi pentas konvokesyen untuk mendapatkan skrol yang diidamkan.

Namun ia tidak terjadi kepada pasangan suami isteri, Ab Razak Ibrahim dan Nor Zaliha Othman, apabila anak dikasihi telah pulang ke pangkuan ilahi sebelum sempat menikmati kejayaan hasil usaha kerasnya dalam pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Istiadat Konvokesyen UIAM sesi ke-37 semalam tetap menjadi detik kebanggaan kepada kedua orang tua Nor Hikmah dari Kemaman, kerana anak mereka menerima anugerah anumerta.

Nor Hikmah merupakan penuntut Kulliyyah Pergigian (KOD) dan salah seorang daripada dua penerima anugerah anumerta pada sesi konvokesyen UIAM, kelmarin.

Ab Razak menerima anugerah itu bagi pihak anak perempuannya, yang meninggal dunia akibat penyakit Crohn pada 11 Mac lalu.

Anugerah itu disampaikan Yang Dipertua UIAM, Tan Sri Samsudin Osman, disaksikan orang ramai yang berdiri sebagai tanda penghormatan, diikuti bacaan Al-Fatihah.

Ab Razak berkata, pemergian anaknya itu bukanlah sesuatu yang mereka jangka kerana keadaannya kelihatan bertambah baik ketika menerima rawatan pertama di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi bertambah buruk selepas rawatan seterusnya di hospital.

Jelasnya, dia dan isteri datang untuk meraikan kejayaan bukan sahaja untuk Allahyarham, tetapi juga kejayaan rakan-rakannya yang menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Malah katanya, dia dan isteri sangat terharu kerana kehadiran ke majlis itu disambut baik rakan-rakan, ahli keluarga dan pihak universiti

Berkongsi keperibadian Nor Hikmah, Ab Razak berkata, walaupun anaknya tidak banyak bercakap, namun dia pelajar yang sangat pintar dan bersungguh-sungguh dalam pelajarannya.

“Dia sangat baik dan tidak akan memberitahu kami dia kehabisan wang,” jelasnya yang membuktikan Nor Hikmah adalah sangat anak yang bertimbang rasa dan berdikari.

Ab Razak juga menjelaskan, walau anaknya tidak berpeluang untuk berkhidmat kepada masyarakat, dia dan isteri menerima takdir dan ketentuan Allah terhadap anak mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here