JEMAAH Menteri akan memutuskan hari ini sama ada membenar semula penternak mengeksport ayam atau sebaliknya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata semalam kementeriannya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenai perkara itu.
Katanya, ia berikutan terdapat laporan lambakan ayam di pasaran serta permintaan tinggi daripada penternak untuk mengeksport ke Singapura.
“Jadi hari ini kita tunggu keputusan Kabinet,” katanya kepada media pada kempen ‘Kopi Merdeka’ oleh Tealive di Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.
Bermula 1 Jun lalu, kerajaan menghentikan eksport sebanyak 3.6 juta ekor ayam sebulan dalam usaha menstabilkan harga dan pengeluaran ayam dalam negara.
Sementara itu, Rosol mengakui kementeriannya turut berdepan masalah harga makanan yang kekal tinggi walaupun harga bekalan ayam sudah kembali stabil.
“Tiada alasan sebenarnya untuk peniaga makanan kekalkan harga dan sekiranya masih berdegil, kementerian akan cari jalan bagaimana mengatasinya.
“Jika ada aduan, kita akan lakukan siasatan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,” katanya. – Malaysiapost

