MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sememangnya dikenali sebagai ‘kaki bola’ sehingga sering meluangkan masa beraksi di padang pada mana-mana program dihadirinya.
Pantang diajak, beliau pasti tidak menolak walaupun ia berlaku secara tanpa dirancang ketika mempunyai jadual yang padat.
Ketika berada di Kudat, Sabah kelmarin, Dr Radzi selepas selesai menghadiri program, kebetulan melalui satu gelanggang futsal dan ternampak sekumpulan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) sedang bermain.
Beliau lantas diajak oleh kumpulan pelajar terbabit untuk turut bersama-sama ‘mengeluarkan peluh’ di gelanggang.
Berkongsi mengenainya, Setiausaha Akhbar beliau, Mohd Yusof Saari berkata bagaikan ‘orang mengantuk disorong bantal’, Dr Radzi terus saja menerima pelawaan melepaskan gian menendang bola.
“Kejadian ini berlaku time ikut bos join aktiviti pelajar bersama masyarakat di Kampung Landung Ayang, Kudat.
“Semasa berjalan nak ke kereta, lintas gelanggang futsal. Ada pelajar IPG layan game. Nampak saja bos, depa terus offer, YB jom la join sekali, kita lawan.
“Dah bos ‘kaki bola’ apa lagi, pantang mundur kecuali…,” tulisnya di Facebook.
Terdahulu Dr Radzi hadir Sesi Sembang Santai bersempena Program Pembudayaan SekolahKu SEJAHTERA dianjurkan pelajar IPG Kampus Kent dan IPG Kampus Gaya di Kampung Landung Ayang.
Selain warga IPG, majlis turut dihadiri pemimpin masyarakat serta penduduk setempat. – Malaysiapost

