Nak tengok final Piala FA atau konsert Dewa?

0
1

TANDA tanya mengenai venue final Piala FA terjawab semalam apabila Malaysian Football League (MFL) mengumumkan is bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September ini.

Pengumuman itu sekali gus bermakna aksi final menemukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal bertembung dengan konsert band popular Indonesia, Dewa 19 pada hari sama.

Secara kebetulan, konsert Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19 itu bakal berlangsung di Axiata Arena di Bukit Jalil yang terletak bersebelahan SNBJ.

Aksi final Piala FA dijadualkan bermula pada jam 9 malam manakala konsert Dewa 19 bakal bermula pada jam 8.30 malam.

Dijangka final Piala FA bakal menarik kehadiran hampir 90,000 penonton berdasarkan kapasiti SNBJ, manakala lebih 10,000 ‘baladewa’ dijangka membanjiri Axiata Arena secara serentak.

Susulan itu, kawasan sekitar Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dijangka mengalami kesesakan susulan kehadiran peminat kedua-dua acara sejak petang.

Pada masa sama, peminat TFC dan JDT yang telah membeli tiket untuk menyaksikan konsert Dewa 19 pasti pening kepala kerana tentunya tidak mahu terlepas menonton aksi final yang dijangka sengit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here