PAS tidak menyimpan hasrat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekali gus menawan Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, beliau hanya meminta pengundi PH di Pahang untuk mengundi PAS pada PRU15 nanti.
Ahmad Fadhli berkata, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak sepatutnya berkecil hati memandangkan Umno dan BN juga terang-terangan telah melancarkan ‘peperangan’ untuk menawan negeri-negeri dikuasai PAS pada PRU15 nanti.
“Merujuk kenyataan balas sahabat saya Ketua Pemuda Umno, suka saya jelaskan beberapa perkara, saya hanya ajak pengundi PH sebelum ini di Pahang untuk tumbangkan BN, bukannya ajak parti-parti dalam PH atas nama kerjasama parti. Apa masalahnya?
“Pengundi PH pun rakyat Malaysia dan pengundi juga. Lagipun di Kelantan, pemimpin Umno dan PH sudah ada yang sepentas ceramah menyerang kerajaan negeri.
“Lagi satu kenyataan saya itu sama sahaja nadanya dengan Timbalan Presiden Umno yang menyebut BN tekad ambil balik Kelantan dan BN yakin Terengganu dalam genggaman,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam, Asyraf Wajdi menyifatkan usaha mencari jalan menyelamatkan hubungan PAS dengan Umno atas nama Muafakat Nasional (MN) kini boleh dilihat hanya sandiwara susulan kenyataan Ahmad Fadhli.
Ahmad Fadhli sebelum itu dilaporkan berkata, PAS berpotensi menawan Pahang daripada BN, sekali gus mengubah kepimpinan kerajaan negeri berkenaan dalam PRU akan datang.
Menurut Ahmad Fadhli, ia memandangkan ketika ini PAS menang lapan daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada PRU 2018, manakala BN 25 kerusi dan PH sembilan kerusi.
“Dalam PRU yang akan datang jika penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan Pahang, Insya-Allah PAS ada peluang untuk menang.
“Atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

