Ahli Bersatu sertai Umno bukan ahli akar umbi –  Aziman

0
1

BERSATU Terengganu mendakwa beberapa individu yang dilaporkan keluar parti berkenaan dan menyertai Umno adalah mereka yang kecewa kerana tidak mendapat kedudukan atau jawatan dalam Bersatu.

Ketua Armada Bersatu Terengganu  Aziman Hadi Nazri, berkata mereka pada asalnya memang ahli Umno yang memasuki Bersatu kerana mempunyai agenda tersendiri.

“Perkara ini (keluar parti) tidaklah mengejutkan kerana pihak Armada telah mengenalpasti beberapa individu seperti di Kemaman, ada individu yang dahulunya pernah memegang jawatan parti menyertai Umno baru-baru ini.

“Kerana telah kalah dalam pemilihan parti dan mengambil keputusan untuk menyertai Umno kerana kecewa tidak mendapat kedudukan atau jawatan dalam Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Sabtu lalu yang mendakwa seramai 700 bekas penyokong serta ahli Pas dan Bersatu memutuskan untuk keluar parti dan menyertai Umno.

Aziman yang juga Naib Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Terengganu, menasihatkan Ahmad supaya tidak bermimpi di siang hari dengan menggambarkan penyertaan itu sebagai satu kejayaan dan penerimaan rakyat kepada Umno Terengganu.

“Realitinya, akar umbi Bersatu Terengganu adalah kukuh dan dalam keadaan bersiap siaga untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita dapat lihat Majlis Pelancaran PN Terengganu tempoh hari dihadiri lebih 20,000 akar umbi dan ini menunjukkan PN Terengganu yang ditunjangi Pas dan Bersatu, telah bersedia menghadapi PRU-15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here