Kes tipu tawaran kerja, jual beli draf bank: Empat individu ditahan

0
1

EMPAT lelaki termasuk seorang warga China ditahan berhubung kes penipuan tawaran kerja dan urusan jual beli bank draf Bank of China di Genting Highlands, Bentong Pahang, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, empat lelaki berumur dalam lingkungan 21 hingga 32 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Pahang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Bentong.

“Dalam Operasi tersebut, seramai empat individu telah ditangkap yang terdiri dari tiga lelaki warganegara Malaysia dan seorang lelaki warga China.

“Terdapat barang rampasan yang telah dirampas dalam serbuan tersebut iaitu sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenama dan enam unit laptop pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramli berkata, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati lelaki warga China bersama seorang lelaki warganegara tempatan telah menjalankan kegiatan ini sejak enam bulan yang lalu.

“Manakala dua lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai junket di Genting Highlands berada di premis serbuan semasa tangkapan dibuat,” katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan empat individu ini, PDRM Pahang percaya lebih banyak kegiatan penipuan tawaran kerja dan jual beli bank draf akan dibongkar kelak sama ada di Pahang atau di negeri lain.

“Pihak Polis Pahang akan sentiasa menjalankan tindakan-tindakan membanteras aktiviti penipuan dalam talian dan menyeru masyarakat agar sentiasa cakna terhadap modus operandi terkini terutamanya penipuan dalam talian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here