SEORANG bekas pegawai kanan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang terbabit dalam projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Menurut laporan Berita Harian yang memetik sumber sebagai berkata, individu itu akan didakwa dengan pertuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan LCS yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kes itu menjadi perhatian umum selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati lima kapal yang ditempah pada 2013 gagal disiapkan sehingga sekarang walaupun RM6 bilion sudah dibayar.
Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.
Suruhanjaya itu juga memaklumkan, ia sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.
Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion bagi tempoh bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun. – Malaysiapost

