YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Turkiye hari ini bagi mengadakan lawatan negara selama tujuh hari.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada kira-kira jam 10 pagi tadi.

Hadir sama bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda berdua, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Sri Muhaini Zainal Abidin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata lawatan negara itu adalah atas jemputan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang dijadualkan tahun lalu, tetapi ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.
“Lawatan negara ini juga yang pertama buat Seri Paduka Baginda berdua bagi tahun ini sejak Ogos 2019 dengan kali terakhir lawatan negara diadakan ialah ke Indonesia selama empat hari pada 26 Ogos 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden, Ankara pada esok dan kemudian turut dijadualkan menghadiri Majlis Jamuan Negara di lokasi sama.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat beberapa tempat sepanjang tempoh lawatan berkenaan.
“Lawatan negara ini melambangkan kepentingan, keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turkiye, sekaligus menyumbang ke arah mengukuhkan jalinan persahabatan kedua-dua negara yang terjalin sejak 1964.
“Lawatan ini turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan juga terhadap kelestarian prestasi pelaburan dan kepentingan negara di Turkiye,” katanya. – Malaysiapost

