Wan Saiful dakwa Perdana Menteri menipu

0
1

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa bertemu dengan delegasi Perikatan Nasional (PN) pada 4 Ogos lalu, adalah penipuan dan tidak beradab, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, pertemuan itu bukan perjumpaan rasmi sebaliknya pertemuan ketika makan tengah hari secara santai seperti dikatakan Bendahari PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

“Terima kasih Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengesahkan kenyataan saya tempoh hari.

“Kalau belum betul-betul jumpa, kata sajalah belum jumpa. Walaupun acuan Umno, jangan mudah menipu rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Menurutnya, wakil rasmi yang PN namakan adalah empat orang iaitu Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin; Penolong Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Haji Hassan; Bendahari Agung Ahmad Samsuri; dan Ketua Penerangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kalau setakat jumpa waktu ‘lunch’, itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya.

“Bagi saya kenyataan Ismail Sabri Yaakob mendakwa telah bertemu delegasi PN adalah penipuan dan tidak beradab. Jadi Ismail Sabri perlu jelaskan kenapa dia menipu media dan rakyat,” katanya.

Wan Saiful berkata, sewaktu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau tidak melakukan sedemikian malahan menubuhkan Majlis Presiden bagi memberi peluang semua Presiden parti untuk bercakap.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan Ismail Sabri seolah-olah takut dan cuba menyembunyikan sesuatu daripada PN.

“Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Majlis Presiden parti dalam kerajaan. Semua Presiden parti ada dalam Majlis Presiden itu. Itu barulah Perdana Menteri yang berani. Bercakap depan-depan secara rasmi, bukan sembang senyap-senyap waktu lunch.

“Apa yang Ismail takut sangat? Nak jumpa kawan segabungan secara rasmi pun tak berani? Atau ada perkara yang Ismail mahu sembunyi dan takut delegasi PN tanya?

“Maklumlah kita sudah tahu mengenai pelbagai skandal seperti LCS yang kena atas batang hidung pemimpin Umno sekarang ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ismail Sabri memaklumkan, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan PN yang diwakili Setiausaha Agungnya, Hamzah dan Ahmad Samsuri pada 4 Ogos lalu.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dilaporkan berkata, kedua pemimpin itu sudah menyampaikan pandangan mereka dan beliau juga sudah sampaikan pandangannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here