Laut China Selatan terbuka kepada konflik cetus perperangan

0
1

MALAYSIA perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak khususnya melibatkan pertahanan ketenteraan strategik.

Ia bagi memastikan negara berada berada dalam situasi mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, siri pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China kebelakangan ini membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.

“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil Malaysia sama ada melalui rundingan mahu pun diplomatik.

“Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan China, jadi kita harus lebih tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, situasi sama turut dialami oleh negara Asean lain yang menunjukkan China tidak teragak-agak mengerahkan tenteranya bertindak terhadap negara lain sekiranya merasakan hak wilayah mereka terancam.

“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga,” katanya.

Tambah Ahmad, China tanpa segan silu mengukuhkan kehadiran mereka di Laut China Selatan dengan mendirikan kemudahan ketenteraan di atas pulau-pulau yang masih dalam pertikaian.

Malah China juga katanya, baru-baru ini menambah peruntukan ketenteraan mereka untuk kawasan itu yang sekaligus menimbulkan ketegangan di rantau Asean.

Menurutnya lagi, Filipina baru-baru ini buat pertama kalinya telah diberi amaran langsung oleh China apabila menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan sendiri.

“Lihat apa berlaku di Taiwan ketika ini apabila tentera China melakukan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu, baru-baru ini.

“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, tentunya Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here