Usah tambah beban rakyat dengan naikkan lagi OPR

0
2

Dr Asyraf Wajdi Dusuki

PEMUDA Umno menggesa agar Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Kenaikan OPR bukan sahaja menambah bebanan peminjam, malah tidak menyumbang kepada penurunan kadar inflasi.

Oleh kerana hutang isi rumah berbanding nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita berada pada paras hampir 90% (manakala Singapore 69.7%, Indonesia 17.2% dan Philippines 9.9%), maka setiap tingkat kenaikan OPR akan lebih membebankan peminjam di Malaysia berbanding negara serantau.

Dari segi teori, alasan kenapa OPR dinaikkan adalah untuk menurunkan kadar inflasi dengan cara memperlahankan aktiviti ekonomi, iaitu mencetuskan ‘mild recession’.

Dengan menaikkan OPR, sebagaimana teori monetari konvensional, Bank Negara berharap agar sektor perniagaan akan mengurangkan pelaburan dan sektor isi rumah akan mengurangkan perbelanjaan disamping meningkatkan kadar simpanan.

Tetapi dengan tingkat kadar hutang sektor isi rumah di negara kita yang tinggi, maka kenaikan kadar bunga hanya akan mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui pertambahan pembayaran balik pinjaman, bukannya menerusi peningkatan kadar tabungan.

Namun begitu, oleh kerana kenaikan kadar inflasi yang berlaku bukanlah berpunca daripada lebihan permintaan sebaliknya akibat permasalahn berkaitan ‘supply side disruption’ dan ‘energy supply shock’ kerana perang di Ukraine, maka kenaikan OPR tidak akan berjaya menurunkan kadar inflasi.

Ini jelas terbukti apabila Amerika Syarikat sendiri gagal menangani masalah inflasi yang jauh lebih tinggi di negara itu walaupun kadar bunga dinaikkan.

Bagi usaha mengawal inflasi, tindakan Kerajaan tidak meningkatkan harga bahan api (petrol dan diesel) serta mengekalkan tariff elektrik terbukti lebih berjaya mengawal kadar inflasi daripada naik terlalu tinggi seperti yang berlaku di negara lain. Kejayaan ini tidak ada kena mengena dengan peningkatan OPR.

Dalam keadaan ekonomi domestik negara kita yang masih belum pulih sepenuhnya, maka tambahan bebanan kewangan ke atas peminjam akibat kenaikan OPR berkemungkinan besar akan menjerumuskan lebih ramai orang kepada masalah insolvensi.

Bukan itu sahaja, malah pengurangan tingkat perbelanjaan dalam ekonomi yang diharapkan kesan kenaikan OPR turut akan mengganggu proses pemulihan ekonomi domestik pasca Covid yang sedang direncanakan.

Kenaikan OPR hanya akan memberi kelebihan kepada sektor perbankan sahaja. Di kala sektor perniagaan lain terutamanya SME masih terjejas, termasuklah sektor pekerjaan yang tidak menentu, maka tidak adil untuk sektor perbankan membuat keuntungan besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here