Tapak LCS: MINDEF bawa pengamal media ke Lumut

0
2

KEMENTERIAN Pertahanan Malaysia (MINDEF) membawa pengamal media melawat tapak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihak media juga dibawa ke gudang penyimpanan peralatan dan diberi taklimat tentang reka bentuk LCS.

“Hari ini Kementerian Pertahanan Malaysia membawa puluhan media ke Lumut untuk melihat sendiri kapal-kapal LCS yang sudah di peringkat pembinaan (melihat sendiri luar dan dalam kapal).

“Selain dibawa ke gudang penyimpanan peralatan LCS dan diberi taklimat tentang reka bentuk LCS,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsikan gambar-gambar lawatan bersama media, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin sekali lagi menegaskan dirinya termasuk MINDEF tidak menyembunyi apa-apa agenda berkaitan LCS.

“Saya tidak jemu untuk menegaskan berkali-kali iaitu saya dan MINDEF tiada apa hendak disembunyikan.

“Yang harus jadi fokus sekarang ialah Proses Pemulihan – rundingan dengan pihak vendor, OEM dan perbankan di fasa mobilisasi enam bulan ini.

“Seterusnya memastikan projek LCS kembali ke landasannya seperti ditetapkan Jemaah Menteri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihak yang salah mesti dihadap ke muka pengadilan.

Tegasnya, ia tugas pihak berkuasa yang dipertanggungjawab untuk menyegerakan tindakan supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.

“Biar mereka lengkapkan siasatan dan segera mendakwa mereka yang bersalah,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk ahli PAC sendiri telah mengadakan lawatan ke Boustead Naval Shipyard di Lumut bagi meninjau kapal-kapal LCS.

“Malah, gambar-gambar aktiviti pembinaan LCS juga pernah dibentangkan kepada PAC oleh BNS pada Disember tahun lalu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here