RUU Sumbangan Politik bakal dibentang di Parlimen Oktober ini  

0
1

RANG Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan diadakan Oktober ini.  

Justeru, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata satu Memorandum Jemaah Menteri dijangka dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada September ini bagi membolehkan RUU berkenaan dibentang di Parlimen nanti.  

Dalam kenyataan hari ini, Wan Junaidi berkata, pihaknya telah berbincang dengan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, JPM (BHEUU, JPM) berkaitan RUU Sumbangan Politik.    

“Antara perkara dasar penting dibincangkan adalah penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini,” katanya.  

Wan Junaidi turut mengarahkan GIACC memperhalusi perkara dasar serta pihak BHEUU dan AGC menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh-contoh yang diberikan pihak CSO dan NGO.  

“Selain itu, analisa perbandingan (comparative analysis) pemakaian undang-undang ini dari negara-negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras undang-undang ini,” katanya.  

Wan Junaidi juga menyarankan undang-undang ini diselaras dengan undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.   

Selain itu, Wan Junaidi menyarankan draf RUU disediakan secepat mungkin bagi membolehkan sesi libat urus diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa yang akan disediakan oleh GIACC.    

“Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here