JAIP bantu pulih semangat tenaga pengajar, pelajar maahad tahfiz 

0
2

Ben Ibrahim 

KERAJAAN Pahang sudah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden serangan di maahad tahfiz dekat Kuala Lipis, yang tular di media sosial kelmarin. 

Semua tenaga pengajar dan pelajar maahad itu juga sudah dibawa ke klinik kesihatan berhampiran bagi pemeriksaan lanjut. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata pemeriksaan itu turut merangkumi penilaian kesan trauma yang mungkin dialami mereka. 

“Kita simpati dan bimbang juga seandainya ada perkara tidak diingini lebih serius berlaku, jadi saya minta pihak JAIP pergi bersama dengan pendidik dan pelajar ini (melakukan pemeriksaan) supaya dapat memulihkan semula semangat mereka,” katanya melalui kenyataan hari ini. 

Syed Ibrahim berkata, kerajaan Pahang turut merakamkan ucapan simpati kepada pihak pengurusan maahad tahfiz, termasuk guru dan pelajar mereka. 

“Apa alasan sekalipun, tak patut kita pukul orang kerana ini luar daripada sifat kemanusiaan,” katanya lagi. 

Beliau turut menasihatkan semua maahad tahfiz sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengambil langkah keselamatan tambahan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka. 

“Kalau boleh pasang CCTV lagi bagus kerana ia dapat membantu pihak polis melakukan siasatan jika berlaku insiden serupa pada masa akan datang,” katanya. 

Semalam, dua lelaki berjaya diberkas polis selepas mengamuk dan mencederakan seorang guru dan pelajar maahad tahfiz di Kuala Lipis, Pahang, petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, tiga lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan pihak polis. 

“Pihak polis menerima laporan daripada mangsa dalam kejadian itu jam 6.43 petang semalam di Balai Polis Kuala Lipis. 

“Berdasarkan laporan, suspek dikatakan datang ke maahad tahfiz itu sekitar jam 5.10 petang dan menyerang seorang guru tahfiz berkenaan dan seorang pelajar sehingga mengalami kecederaan. 

“Guru terbabit mengalami kecederaan pada bahagian mata sebelah kanan dan pelajar itu pula cedera pada bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan media. 

Azli berkata, semua suspek dipercayai datang ke maahad tahfiz itu dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda. 

Katanya, soal siasat mendapati punca kejadian akibat rasa tidak puas hati seorang waris pelajar maahad tahfiz itu berhubung pembayaran kos makanan di situ. 

“Pihak polis berjaya memberkas dua daripada suspek dalam serbuan di kawasan Damak, Jerantut, awal pagi semalam. 

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here