SEORANG ibu mendakwa anaknya yang menuntut di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pahang telah menjadi mangsa buli sejak Jun 2022.
Kisah itu diceritakan Nazrah Mohamed secara kronologi di Facebooknya yang mendakwa sehingga kini tiada penyelesaian oleh pihak MRSM, malah kes bertambah serius apabila anaknya dan beberapa pelajar lain berterusan didakwa menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism.

“Uniform sekolah anak saya berwarna biru dijumpai di ampaian telah diconteng bersama sehelai baju batik sekolah pelajar senior di dalam blok asrama puteri yang sama. Anak saya telah membuat aduan kepada pelajar senior Tingkatan 5 dan roll call diadakan untuk mencari pelaku tetapi tidak berjaya.
“Uniform kuning anak saya dijumpai di ampaian telah digunting di bahagian lengan. Anak saya telah menelefon dan maklumkan tentang kes berkenaan dan beritahu pelajar senior cuba menyiasat sendiri terlebih dahulu untuk mencari pelaku sebelum memaklumkan kepada warden.

“Saya menelefon ketua warden untuk maklum balas kes tersebut malangnya ketua warden terkejut dan tidak tahu perkara itu. Setelah disemak, pelajar senior mengakui mereka cuba menyelesaikan sendiri kes tersebut,” catatnya di Facebook.
Perkongsian Nazrah itu mencuri perhatian netizen yang rata-rata menzahirkan perasaan simpati terhadap mangsa khianat dan geram kepada pelaku yang masih belum ditangkap.
Nazrah juga turut tidak berpuas hati apabila kes yang disifatkan berat itu hanya diurus pelajar senior tanpa dimaklumkan kepada warden asrama.
Malah, kes buli masih berlarutan sehingga hujung Jun 2022 di mana sehelai lagi uniform biru anaknya dan rakan sebilik dijumpai diconteng selepas dia mengangkat baju di ampaian.
Tambah mengecewakan, Nazrah berkata, anaknya dipanggil oleh lima warden pada malam kejadian dan anaknya didakwa dipaksa mengaku semua baju yang diconteng, digunting dan contengan di dinding tandas dilakukan oleh dia sendiri.
“Dia dipaksa mengaku sedangkan anak saya salah seorang mangsa dan telah melaporkan semua kejadian kepada senior dengan segera apabila kejadian tersebut berlaku kepadanya.
“Sebaliknya, pihak maktab mengambil ringan aduan anak saya dan tiada kenyataan bertulis diambil oleh pihak maktab apabila menerima aduan-aduan tersebut. Pihak maktab dan warden buntu tidak dapat mencari pelaku sehingga menekan anak saya sebagai pelaku,” katanya.

Selain itu, Nazrah menjelaskan berlaku kes khianat apabila pintu bilik anaknya dan pintu tandas yang telah diconteng.
Katanya, rakan sebilik mangsa terjumpa lalu mengambil gambar bagi memaklumkan kepada senior mengenai keadaan selipar disusun di hadapan pintu bilik yang diconteng itu.
Nazrah menjelaskan, dia cuba menghubungi pihak tertentu berkenaan perkembangan kes dan mereka telah memaklumkan bahawa masalah ini telah dirujuk kepada pihak kaunselor.
Menurut kaunselor sekolah, anaknya mengalami masalah anxiety dan mempunyai tahap tekanan tinggi setelah melihat pada perbualan bersama dan meminta agar si anak dirujuk kepada pakar psikiatri.
Bagi mendapatkan kepastian, Nazrah membawa anaknya berjumpa pakar seperti dicadangkan dan ternyata anaknya disahkan sihat dan tiada masalah seperti diperkatakan.
Susulan itu, dia mendakwa pihak pengurusan sekolah mengakui terdapat kesilapan dari pihak maktab dalam menjalankan siasatan kes sehingga menuduh mangsa.
“Kami telah membuat laporan polis terhadap pihak maktab ke atas kes-kes melibatkan anak kami setelah tidak mendapat jalan penyelesaian semasa pertemuan dengan pihak pengurusan maktab.
“Kami juga telah failkan aduan di dalam SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kami telah memfailkan aduan di SISPAA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memandangkan Mara adalah di bawah KPLB,” katanya. – Malaysiapost

