HASRAT pelakon Azri Iskandar menukar namanya kepada Azri Alexander terbantut berikutan mendapat halangan daripada anak-anaknya.
Bekas suami kepada pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar itu berkata, dia tidak jadi menukar namanya kerana anak-anaknya marah dan tidak bersetuju.
“Anak-anak saya marah saya nak tukar nama. Jadi, saya tukar baliklah kepada nama Azri Iskandar dan tak jadi guna nama Azri Alexander. Saya minta maaf pada semua.
“Saya kalau anak-anak tidak setuju, saya tidak boleh buat dan silap saya juga sebab tidak berbincang terlebih dahulu dengan anak-anak tentang hal ini,” katanya memetik laporan Getaran.
Azri menjelaskan, anaknya bernama Azrell Omar Iskandar atau Ayel yang paling marah terhadapnya kerana nama baru itu.
“Yang marah saya sangat tukar nama ni anak saya, Azrell Omar Iskandar (Ayel). Sedih betul saya.
“Dia cakap nama Azri Iskandar tu dah okey dah. Kalau pun nak go international, tidak ada salahnya pakai nama tersebut.
“Lagipun dia kata, dia dah mula berkecimpung dalam bidang perfileman, takkan dia nak letak namanya sebagai Azrell atau Ayel Alexander.
“Saya cakap nama saya tetap Azri Iskandar. Cuma, Azri Alexander itu digunakan untuk kerjaya lakonan sahaja. Tapi, dia tidak boleh terima. Sebab itu, saya ambil keputusan untuk gunakan semula nama Azri Iskandar,” katanya.
Bagaimanapun Azri mengakui dia tidak tahu respon berkenaan penerimaan warga industri seni perfileman apabila dia membuat keputusan untuk menukar namanya itu beberapa hari lalu.
“Kalau orang industri, mungkin orang mereka tak kisah kot. Sebab, bukan menaikkan atau menurunkan pembayaran mereka pun,” katanya lagi. -Malaysiapost

