PEGUAM Hafidzah Hassan menasihatkan orang ramai jangan mudah terjebak menyebarkan berita palsu di media sosial.
Menurutnya, pada zaman di hujung jari ini berita yang diterima jangan disangka benar kerana ia mungkin palsu atau fitnah.
“Hati-hati zaman berita palsu di hujung jari. Fake account disangka real. Viral palsu disangka benar. Video terpotong-potong pun kita percaya bulat-bulat. Kita copy paste fitnah orang letak pulak dekat wall sendiri. Kecam mengecam. Keji mengeji.
“Dah tak tau mana betul mana tak betul. Yang mengata mengeji ni tak kisah golongan terpelajar, golongan biasa, kaya miskin, ulama, anak-anak kecil, orang dewasa, perempuan laki-laki, semua orang pun senang terpedaya cerita-cerita yang direka-reka untuk jatuhkan orang lain,” katanya di Facebook.
Hafidzah berkata demikian merujuk kes fitnah yang dibelanya terhadap Ustaz Abu Syafiq Rasyiq Alwi.
Semalam, Mahkamah Shah Alam mengarahkan bekas peserta Pencetus Ummah PU Faiz atau nama sebenarnya Ahmad Faiz Bin Hafizuddin membayar ganti rugi kepada Ustaz Abu Syafiq.
Kenyataan berunsur fitnah terhadap Ustaz Abu Syafiq dikeluarkan oleh Ahmad Faiz dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan komen diruang facebook miliknya pada awal Ogos 2020.
Ustaz Abu Syafiq menafikan segala tuduhan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tuduhan berat tanpa bukti berniat menjatuhkan reputasi beliau sebagai pendakwah bertauliah.
Keputusan Mahkamah itu juga disifatkan sebagai peringatan kepada semua pihak agar tidak cepat melontarkan apa-apa tuduhan terhadap beliau selain ia juga pengajaran buat kita semua.
“Alhamdulillah, together with Datuk Wan Azmir and Zeti Hassan we won our second defamation suit for ustaz abu syafiq Rasyiq Alwi .
“Menunjukkan bahawa beliau tidak pernah mengkafirkan Ustaz Ebit Lew dan kesemua fitnah terhadap beliau oleh defendan adalah tidak benar,” katanya.
Sementara itu, Ustaz Abu Syafiq berkata, di dalam dunia internet ini orang ramai perlu lebih berhati-hati apabila ingin menyatakan perihal orang lain.
“Saya sentiasa mengajar orang ramai agar tidak cepat mengkafirkan orang lain yang berlainan pandangan dan menyatakan itulah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenarnya yang menolak fahaman Takfiri,” katanya di Facebook. – Malaysiapost

