HUTANG negara bertambah 46 peratus dalam masa singkat dan had hutang kerajaan terpaksa dinaikkan dua kali dari 55 ke 60 peratus dan ke 65 peratus.
Demikian kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai reaksi kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan pimpinannya dahulu telah membawa Malaysia keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi.
“Benarkah PN berjaya mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi seperti cuba dinaratifkan oleh Pengerusi PN di Facebook?
“Hutang negara bertambah 46%. Ekonomi merudum, manakala pendapatan rakyat terkesan dan hasil kerajaan dari cukai korporat serta cukai peribadi turut merosot.
“Pertumbuhan KDNK negara dan jumlah pelaburan asing jatuh antara paling rendah. Pasaran saham Malaysia menjunam dan menjadi pasaran saham dengan prestasi antara paling corot dalam dunia,” katanya.
Ahmad Zahid juga menunding jari kepada Muhyiddin kerana terlibat secara langsung menjarah rizab Petronas ketika menjadi Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Dividen-dividen untuk rakyat jatuh teruk berbanding sebelum PRU14 dan memberi tekanan lebih besar kepada pendapatan tahunan rakyat Malaysia.
“Rizab tunai Petronas diijarah dalam masa empat tahun termasuk semasa dia menjadi anggota Kabinet kerajaan PH,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengimbas kembali tujuh faktor kejatuhan kerajaan PN dipimpin Muhyiddin pada Ogos tahun lalu kerana beberapa tindakan Presiden Bersatu yang memakan diri sendiri.
“Benarkah PN memberi keutamaan kepada membela nasib rakyat demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat akibat pandemik Covid-19?
“Mari kita “refresh” tujuh sebab Umno terpaksa menarik balik sokongan (jawatan Perdana Menteri) kepada pemimpin utama PN yang akan mengetuai PN dalam PRU15 itu?
“Kegagalan PN menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.
“Sebanyak 12,784 nyawa maut, 1.42 juta kes jangkitan dan 249,277 kes aktif sebelum dia terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri.
“Menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara.
“Ordinan Darurat ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat dalam keadaan mereka terbeban dengan isu kelangsungan hidup,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kegagalan PN mempertahan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan segala amalan semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela turut menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PN.
“Kegagalan PN menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.
“Termasuk tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir serta terpaksa melalui karenah birokrasi membebankan,” katanya.
Ahmad Zahid juga menegaskan, kerajaan PN telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama dalam dunia sehingga mencetus peningkatan masalah sosial dalam negara.
“Kegagalan PN memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh.
“Darurat serta PKP separuh masak antara tempoh paling lama dalam dunia sehingga rakyat hilang mata pencarian, berlaku kes bunuh diri dan rakyat terpaksa naikkan bendera putih merayu sumbangan makanan,” jelasnya. – Malaysiapost

