PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk menyatakan secara terbuka bahawa pelaksanaan hukuman lebih berat yang akan dikenakan ke atas Mat Rempit adalah sama seperti penalti terhadap pemandu mabuk.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata Ka Siong tidak boleh terus lari dan ‘bersembunyi’ dalam menyatakan perkara itu kepada umum.
“Ka Siong tidak boleh lari atau bersembunyi tetapi perlu secara terbuka menyatakan bahawa hukuman lebih berat akan dikenakan ke atas Mat Rempit atau perlumbaan haram oleh kereta atau motosikal, sama dengan penalti bagi pemanduan mabuk.
“Adakah Wee (ka Siong) akan terus berdiam diri mengenai penalti sama untuk Mat Rempit seperti pemanduan mabuk, sama seperti dia berdiam diri dalam Kabinet mengenai isu-isu penting negara yang memberi kesan kepada komunitinya, masyarakat dan rakyat Malaysia?,” soalnya menerusi Facebook.
Pengerusi DAP itu berkata, beliau yakin tindakan kerajaan mencadangkan hukuman lebih berat terhadap Mat Rempit di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 semalam, adalah hasil desakan yang dibuatnya.
“Jelas sekali pengumuman hukuman yang lebih berat ini dibuat sebagai respons kepada saya yang mempersoalkan diskriminasi antara pemanduan mabuk dan Mat Rempit.
“(Ini kerana) hukuman untuk pemanduan dalam keadaan mabuk adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada hukuman Mat Rempit, berikutan kematian lima pelumba haram di Pulau Pinang bulan lepas,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan hukuman lebih berat dalam usaha membanteras isu lumba haram serta aktiviti mat rempit di negara ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, cadangan pindaan hukuman membabitkan individu terlibat lumba haram dan pihak lain yang menyokong kegiatan berkenaan.
Antara cadangan hukuman ialah menaikkan kadar saman minimum, penjara terhadap mat rempit yang menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya lain. – Malaysiapost

