Kerajaan negeri perlu ada pelan jangka panjang sekuriti makanan – Sultan Selangor

0
1

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah dan menasihatkan agar kerajaan negeri menyediakan pelan jangka panjang yang lebih komprehensif mencakupi aspek sekuriti bekalan makanan khususnya untuk rakyat negeri Selangor.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Baginda mahu keutamaan diberikan kepada keseimbangan pengeluaran produk makanan industri dan hasil tani serta produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Baginda tidak mahu berlakunya sebarang gangguan terhadap sumber bekalan makanan untuk rakyat di Selangor sedangkan negeri ini antara pengeluar signifikan pelbagai produk pertanian dan hasil ternakan.

“Paling penting titah Baginda, produk makanan yang dihasilkan haruslah berkualiti tinggi dan dipasarkan pada harga berpatutan demi kelangsungan hidup rakyat,” menurut kenyataan itu.

Baginda turut menyeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan kajian penghasilan produk tani dan ternakan lebih bermutu dan memastikan bekalannya sentiasa cukup.

Terdahulu Baginda Sultan Selangor berkenan berangkat ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam.

Turut mengiringi Baginda adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda meluangkan masa lebih empat jam di pameran berkenaan termasuk berkunjung ke Dewan Pameran Utama, Pavilion Negeri Selangor, Laman Agrofood Ternakan, Sayuran, Miracle Garden dan Castle of Fruits.

“Baginda turut tertarik dengan pelbagai hasil pertanian menggunakan teknologi terkini dan turut diusahakan secara kecil-kecilan oleh rakyat, namun memiliki potensi pemasaran yang tinggi.

“Baginda menggesa mereka menggiatkan aktiviti bercucuk tanam malah mengusahakan ternakan supaya dapat menikmati hasilnya untuk manfaat sendiri dan keluarga,” jelas kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here