KPPA bertanggungjawab buat teguran

0
1

KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, mengingatkan semua pegawai awam supaya tidak melakukan provokasi terhadap teguran orang awam, penyelia, rakan sejawat atau pegawai atasan.

Peringatan itu dibuat melalui surat edaran bertarikh 8 Ogos 2022 bertajuk, Peringatan Berkaitan Arahan Larangan Membuat Pernyataan Awam Oleh Pegawai Awam yang dimuatnaik di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pagi ini.

Katanya, provokasi melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan viral, boleh disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan bertentangan budaya kerja pegawai awam serta melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, pegawai awam perlu sentiasa bersikap positif apabila menerima pandangan, cadangan atau teguran daripada mana-mana pihak berkepentingan, dalam usaha memperbaiki dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Semua pegawai awam adalah diingatkan bahawa jawatan dan kedudukan yang sedang disandang adalah amanah yang perlu dilaksanakan untuk kepentingan negara.

“Maka, seorang pegawai awam hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur, cekap dan amanah sebagai satu usaha berterusan untuk memartabatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

“Seorang pegawai awam juga hendaklah menunjukkan sikap yang responsif terhadap maklum balas dan aduan daripada pelanggan perkhidmatan awam,” katanya dalam surat berkenaan.

Mohd Shafiq menegaskan, KPPA adalah antara jawatan khas yang diperuntukkan bawah Fasal 3 Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, dan bertanggungjawab memberi pandangan atau teguran bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

“KPPA sebagai Pegawai Tertinggi di JPA bukan saja bertanggungjawab ke atas jabatan ini, tetapi termasuk juga ke atas Perkhidmatan Awam.

“Justeru, KPPA sudah semestinya bertanggungjawab untuk memberikan pandangan atau teguran bagi meningkatkan kualiti dan pematuhan peraturan dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, jika terdapat cukup bukti seseorang pegawai awam melanggar peraturan, tindakan tatatertib sehingga kepada buang kerja boleh diambil kerana perbuatan itu ditafsirkan sebagai ingkar perintah dan menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Menurutnya, pegawai awam juga dilarang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dan kecanggihan teknologi untuk mencapai agenda peribadi sehingga melanggar peraturan dan undang-undang.

“JPA tidak boleh dan tidak akan berdiam diri dengan membiarkan mana-mana pegawai awam difitnah dan diperlakukan secara tidak adil oleh mana-mana pihak lain yang bertujuan mencapai agenda peribadi yang tidak baik,” katanya.

Mohd Shafiq sebelum ini didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 3 Ogos lalu.

Insiden berkenaan kini sedang disiasat Jawatankuasa Siasatan yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here