PENGURUSAN Aman Sentral menjelaskan gambar wanita yang tular berpakaian mencolok mata pada Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) adalah seorang lelaki berperwatakan wanita.
Malah, lelaki itu adalah tetamu yang hadir ke KFW22 di Aman Sentral dan bukannya model memperagakan pakaian pada program itu.
Aman Central dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya kesal dengan perkongsian gambar daripada salah seorang tetamu yang tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan.
Difahamkan lelaki berperwatakan wanita itu merakamkan gambar di bahagian pentas selepas tamat program berkenaan.
“Kami selaku penganjur turut memohon maaf atas sebarang kejadian yang telah menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
“Pihak kami kesal atas segala kesulitan dan akan memastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis di Aman Central akan dipantau dengan lebih ketat selepas ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap penganjur KFW22 termasuk memanggil pihak berkenaan untuk memberi penjelasan selepas menampilkan model dengan pakaian yang mencolok mata.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, hasil semakan, pihak penganjur didapati tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menjelaskan mengenainya, Aman Central berkata, pihaknya sudah mendapatkan kesemua kelulusan oleh pihak berwajib sebelum program dijalankan.
Jelasnya, program berkenaan adalah acara tahunan di Aman Central dan tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak lain.
“Acara ini mendapat sambutan amat menggalakkan terutama oleh pereka tempatan di mana KFW menjadi sebuah platform rasmi dalam kalangan pereka fesyen.
“Ia dianjurkan setiap tahun bagi mempromosi pakaian dan jenama di Aman Central, di samping menampilkan pereka tempatan tanah air untuk mempromosikan Aman Central,” katanya.
Aman Central menambah, penganjuran KFW kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun di mana acara dibatalkan ketika negara dilanda pandemik.
“Kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang kejadian yang telah menyentuh sensitiviti mana-mana pihak,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto : Mstar

