SEORANG anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) cedera di kepala selepas dipukul dan ditolak ke jalan raya oleh dua lelaki yang tidak berpuas hati akibat disaman semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Sutera, Taman Sentosa di Johor Bahru, mangsa berusia 23 tahun cedera di kulit kepala, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata sebelum kejadian itu mangsa mengeluarkan saman ke atas kenderaan suspek yang menghalang lalu lintas.
Menurutnya suspek yang tidak berpuas hati kemudian menyerang mangsa hingga berlaku pergelutan.
“Selepas memukul anggota penguat kuasa itu, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota kereta peronda polis yang tiba di lokasi berjaya menahan mereka yang bersembunyi dalam kereta kira-kira 500 meter dari tempat kejadian,” katanya.
Raub berkata, seorang daripada suspek cedera pada muka dan menerima dua jahitan dipercayai akibat bergelut dengan mangsa.
Katanya, suspek warga tempatan berusia 42 dan 47 tahun itu akan direman bagi siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – Malaysiapost

