MOT pinda akta bagi bendung Mat Rempit

0
2

KERAJAAN melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) kini sedang berusaha dalam membendung kegiatan lumba haram dengan meminda akta sedia ada.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, berkata pindaan itu memfokuskan bukan sahaja suspek pelumba haram, malah penonton dan juga bengkel-bengkel yang membuat modifikasi kenderaan bagi tujuan perlumbaan.

Menurutnya, hukuman yang akan dikenakan juga akan dipinda mengikut kesesuaian yang mana dapat memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah, bukan sahaja denda dinaikkan, malah akan dikenakan penjara.

Beliau berkata, antara cadangan pindaan itu adalah kadar minima saman kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam kegiatan mat rempit dinaikkan ke kadar yang lebih efektif.  

“Sebagai contoh, sebelum ini mereka yang berlumba haram dikenakan saman RM300, mungkin dengan cadangan pindaan akta ini kadar saman akan dinaikkan sehingga RM5,000 atau RM10,000 untuk mengelakkan aktiviti lumba haram ini.

“Selain itu, mereka yang terbabit lumba haram juga bakal dikenakan hukuman penjara, malah ibu bapa remaja bawah 18 tahun yang terlibat lumba haram dan para penyokong lumba haram juga akan dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat ‘Isu Mat Rempit’ yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain; dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Md Isa.

Isham berkata, melalui cadangan pindaan akta berkenaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mungkin akan diberi kuasa untuk menyita dan menarik balik lesen bengkel yang ubahsuai motosikal bagi kegiatan lumba haram.

“Kita juga mungkin membenarkan syarikat insurans menyemak pangkalan data di JPJ mengenai maklumat mat rempit yang telah dikenakan hukuman untuk mengenakan premium insurans yang lebih tinggi terhadap mereka,” katanya.

Terdahulu, dalam taklimat yang diadakan kata sepakat dicapai diantara Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ untuk berkolaborasi dalam membendung kegiatan lumba haram.

Mesyuarat bersetuju dengan pendekatan mengurangkan risiko dalam penguatkuasaan undang-undang, dimana tangkapan suspek pelumba haram akan dibuat selepas kesalahan dilakukan melalui pembuktian-pembuktian seperti rakaman video.

Menurut Isham, Pulau Pinang akan dijadikan sebagai model negeri pertama yang akan diimplimentasi kaedah operasi yang akan dijalankan itu.

Dalam tragedi pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang dipercayai berpunca daripada kegiatan lumba haram. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here