Feichtenbeiner fokus projek pembangunan, Nidzam Jamil pengendali sementara 

0
2

SELANGOR FC hari ini mengumumkan ia dan Michael Feichtenbeiner telah mencapai persetujuan bersama untuk pengendali dari Jerman itu melepaskan jawatan ketua jurulatih pasukan utama. 

Menurut Selangor FC, Feichtenbeiner yang telah mengendali skuad Liga Super selama setengah musim akan memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor sebagai Pengarah Sukan Selangor FC yang disandangnya sejak tahun 2020. 

“Projek pembangunan bola sepak Selangor yang dimulakan Michael Feichtenbeiner sejak tahun 2020 telah melahirkan ramai pemain muda yang mewakili pasukan utama Selangor FC dan kebangsaan. 

“Sehingga kini seramai 19 pemain muda dari pasukan Feeder Selangor FC telah diserap ke pasukan utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan ramai lagi.  

“Pada tahun ini juga, 10 pemain muda Selangor telah dipilih mewakili Skuad B23 Kebangsaan dan 13 pemain lagi mewakili Skuad B19 Kebangsaan untuk pelbagai kejohanan peringkat ASEAN dan Asia,” katanya menerusi kenyataan. 

Menurut kenyataan itu lagi, Selangor FC juga antara pasukan termuda mengikut purata umur dalam saingan Liga Malaysia 2022. 

“Pencarian ketua jurulatih baharu sedang dijalankan dan pihak kelab akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian telah dibuat.  

“Tugas tersebut kini digalas oleh pembantu ketua jurulatih, Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama sebagai ketua jurulatih sementara bagi baki saingan Liga Malaysia 2022,” katanya. 

Masa depan Feichtenbeiner bersama Selangor Fc sebelum ini menjadi persoalan susulan prestasi tidak menentu skuad Gergasi Merah sejak awal musim, termasuk tersingkir di separuh akhir Piala FA pada hujung minggu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here