Sultan Johor kurnia sumbangan peribadi kepada Mohamad Aniq  

0
2

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar mengurniakan sumbangan peribadi kepada atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan yang memenangi pingat emas dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, memaklumkan Mohamad Aniq turut teruja bertemu dengan baginda.

“Mohamad Aniq yang mengharumkan nama Malaysia selepas meraih pingat emas pertama pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 tidak dapat melupakan pengalaman bertemu Sultan Johor hari ini,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu, Mohamad Aniq berkata, beliau amat gembira kerana ini merupakan kali pertama dirinya bertemu dengan Sultan Johor.

“Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih diatas kurniaan sumbangan peribadi daripada baginda.

“Baginda juga mengucapkan selamat maju jaya kepada saya untuk temasya-temasya sukan akan datang termasuk persiapan untuk menyertai Kejohanan Dunia 2022 di Columbia pada Disember ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Aniq turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Baginda dengan pingat emas yang dimenanginya. 

Anak kelahiran Segamat, Johor itu meraih pingat emas menerusi acara 55 kilogram pada temasya Sukan Komanwel Birmingham, baru-baru ini.

Badang negara berusia 20 tahun itu menerima sumbangan peribadi daripada baginda.

Terdahulu, Sultan Johor berangkat ke majlis ramah-mesra bersama penduduk Labis dan turut menikmati santapan minum petang di Warung Mee Kicap, Kampung Paya Merah. 

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Mengiringi Baginda Tuanku Sultan pada lawatan itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri  Dr Azmi Rohani. 

Sebelum berangkat pulang ke Johor Bahru, Sultan Johor turut berkenan merasmikan Rumah Kraf Labis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here