Ada skandal tapi dicalonkan menjadi TPM – Puad Zarkashi

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melayan permintaan Bersatu adalah tepat. 

Beliau berkata, situasi politik negara akan menjadi huru-hara sekali gus membangkitkan kemarahan rakyat sekiranya Perdana Menteri melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Bersatu yang dipercayai mencalonkan satu nama untuk jawatan itu. 

“Macam hilang akal pula bila Malaysiakini mendedahkan Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) adalah sebenarnya calon TPM yang dicadang oleh Bersatu. 

“Lagi hilang akal apabila Malaysiakini lapor, Ismail Sabri tolak nama Azmin kerana ahli Umno akan marah. Sebenarnya bukan ahli Umno yang marah tetapi rakyat akan marah.

“Rakyat marah kerana rakyat percaya video Azmin adalah “tulen”. Macam mana orang yang ada skandal boleh jadi TPM. Pelik, kenapa Muhyiddin mahu Azmin jadi TPM,” katanya di Facebook, hari ini. 

Sambil menzahirkan kesyukuran terhadap tindakan Perdana Menteri itu, Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit menyifatkan Bersatu ketandusan pemimpin berwibawa. 

“Pilih Azmin bermakna, Bersatu ketandusan tokoh. Patutlah Azmin tidak ikut jejak Zuraida keluar Bersatu. Syukur kerana PM tolak nama Azmin. PM lebih tahu. Boleh jadi huru hara,” katanya. 

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan,  Azmin merupakan calon tunggal yang dikemukakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan berkenaan seperti mana perjanjian.

Bagaimanapun menurut sumber dalaman, pemilihan Azmin bagi jawatan itu sukar untuk diterima Putrajaya.

“Bersatu telah menamakan Azmin sebagai calon timbalan perdana menteri seperti mana perjanjian dengan perdana menteri sebelum ini bagi jawatan berkenaan.

“Hanya Azmin calon tunggal yang dicadangkan Bersatu untuk jawatan itu. Saya difahamkan presiden (Muhyiddin) telah memaklumkannya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Namun, ia masih menemui jalan buntu apabila kita masih gagal bertemu perdana menteri,” kata sumber itu dipetik Malaysiakini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here