United lemah tak bermaya, tunduk 1-2 di Old Trafford

0
1

INDAH khabar daripada rupa. 

Itulah yang dapat digambarkan kepada Manchester United yang terus mempamerkan prestasi hambar seperti musim lalu dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) 

Meskipun gah dengan prestasi cemerlang dalam persiapan musim baharu EPL termasuk menundukkan Liverpool 4-0 dalam aksi persahabatan di Thailand, anak buah Erik Ten Hag terus memberi harapan palsu buat peminat United apabila tunduk layu 1-2 kepada Brighton di gelanggang sendiri dalam aksi sulung EPL.

United yang tampil dengan pengendali baru daripada Belanda tidak menurunkan penyerang sensasi Cristiano Ronaldo pada kesebelasan utama. 

Brighton mempamerkan aksi penuh bertenaga sejak wisel permulaan ditiupkan dan sering mencemaskan kubu United menerusi serangan di sebelah sayap. 

Pada minit ke-30, Pascal Gross mendiamkan penyokong di Old Trafford apabila rembatan kencangnya menewaskan David De Gea selepas menerima hantaran cantik Danny Welbeck dari dalam kotak penalti lawan. 

Tersentak dengan jaringan itu, United bingkas memperkemaskan permainan dan menggasak ke kubu Brighton. 

Namun pemain United tetap buntu dan dilihat ketandusan idea untuk membolosi gawang gol pasukan pelawat. 

Akibatnya, Brighton pula yang melebarkan kedudukan 0-2 apabila Pascal sekali lagi menemui sentuhan gol pada minit ke-39.

Ketinggalan 0-2 tidak melemahkan semangat United. Ronaldo dimasukkan pada babak kedua dalam usaha United mengelak kekalahan memalukan di gelanggang sendiri. 

Akhirnya pada minit ke-68 United berjaya merapatkan jurang hasil gol sendiri Alexis Mac Allister susulan situasi kelam kabut dihadapan pintu gol Brighton. 

Gol itu nyata memberi semangat kepada United yang terus menggasak kubu Brighton untuk mencari gol penyamaan. 

Namun tuah berpihak kepada Brighton apabila kental bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus mencipta sejarah memperolehi kemenangan pertama mereka di Old Trafford. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here