Annuar ingatkan peniaga jangan sorok minyak masak

0
1
Minyak-minyak masak yang dijual dalam bentuk botol dan paket ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi mengingatkan peruncit dan peniaga agar lebih bertanggungjawab dan tidak menyorok bekalan minyak masak berikutan penetapan harga minyak masak botol lima kilogram (5kg) yang bermula esok. 

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan menyorok bekalan itu bukan sahaja merugikan semua pihak malah membantutkan usaha kerajaan menangani inflasi. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, semua yang terbabit dalam ekosistem pengeluaran komoditi berkenaan mesti bekerjasama. 

“Jangan hanya bila harga minyak akan turun, peruncit akan start (mula) sorok minyak dan tindakan itu tidak akan membantu kerajaan. 

“Setakat ini, saya berpuas hati kerana belum pun harga baharu itu berkuat kuasa, sudah ramai peniaga menurunkan harga melebihi harga baharu ditetapkan itu. 

“Perkara sama turut dilihat menerusi penetapan harga maksimum ayam di mana ada peniaga sudah menetapkan harga lebih rendah berbanding RM9.40 sekilogram. 

“Saya melihat perkara itu dapat dilakukan dan kita hanya perlu bekerjasama sahaja,” katanya. 

Beliau berkata kepada media ketika ditemui sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Serdang, hari ini. 

Sebelum ini, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menetapkan harga minyak masak sawit dalam botol lima kilogram (5kg) yang ketika ini berharga antara RM39 hingga RM42, akan dijual pada RM34.70 bermula esok. 

Harga baharu ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan harga RM4,063 bagi Ogos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here