AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan beberapa faktor mengenai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang kini hilang minat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, sebanyak 72 peratus atau lebih 390,000 pelajar lepasan SPM dilaporkan tidak melanjutkan pelajaran.
Katanya, ini kerana ramai yang memikirkan faktor seperti tempoh masa panjang bagi suatu kursus dan kos pembelajaran mahal.
“Jadi, maksudnya, tiga dari empat pelajar SPM tidak akan memasuki peringkat universiti dan kolej. Tetapi, kita kena tanya satu soalan – adakah ini salah mereka?
“Di negara luar, kamu hanya perlukan tiga hingga empat tahun untuk dapatkan ijazah. Di Malaysia, dua tahun Asasi kemudian tambah lagi empat tahun. Kamu perlu enam hingga tujuh tahun untuk habis belajar. Umur dah 25 tahun di luar negara, sudah ada pengalaman kerja satu hingga dua tahun. Malaysia? Baru nak mohon kerja.
“Kos untuk belajar juga tidak rendah. Ramai yang perlu hantar anak-anak belajar di IPTS juga. Boleh cecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit,” katanya menerusi Facebook.
Susulan itu, Syed Saddiq berkata, banyak keluarga terpaksa menjual tanah, kereta, termasuk membuat pinjaman berpuluh-puluh ribu ringgit hanya untuk memasukkan anak mereka ke kolej atau universiti.
Tambahnya, pembelajaran di universiti juga tidak membenarkan pelajar untuk mengejar minat masing-masing.
“Subjek mandatori yang sudah kerap kali diajar di sekolah, jumlah jam belajar benda yang sama berulang kali.
“Akhirnya bila dah habis belajar (setelah 6-7 tahun), tidak ada peluang kerja atau peluang mereka kejar minat masing-masing.
“Itulah jadinya lambakan graduan yang tak dapat kerja, atau dapat kerja tetapi gaji tak bermaruah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, jika mengikut sifir itu, setiap tahun sepatutnya sudah dijangka ramai yang lebih minat bekerja terus atau mencari minat mereka di luar pengajian tinggi.
“Jadi soalan saya – adakah ini salah mereka,” katanya. – Malaysiapost

