KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan hasrat beberapa parti politik yang ‘mengendeng’ mahu bersama Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini.
Zahida berkata, senario itu berbeza berbanding di awal pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila ramai pihak yang menjauhi BN termasuk yang menghina gabungan tersebut.
“Masa awal-awal selepas PRU14, ramai menjauh. Tak kurang yang hina kita sebagai parti perompak pencuri.
“Tapi hari ini ramai pula yang nak ‘mengendeng’ dekat kita. Kenapa ya?, soalnya menerusi Facebook.
Zahida berkata, beliau difahamkan sekurang-kurangnya sebanyak tujuh parti yang sudah membuat permohonan untuk menyertai BN.
“Bukan sahaja Parti Bangsa Malaysia, tapi difahamkan sekurang-kurangnya ada 7 parti yang sudah mohon sertai BN.
“Adakah kita patut terima mereka? Apa pandangan anda?,” katanya.
Semalam, PBM mengesahkan telah menghantar surat permohonan untuk menjadi salah satu parti komponen BN pada tiga minggu yang lalu.
Perkara berkenaan, disahkan oleh bakal Presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin, hari ini. Bagaimanapun, sehingga kini BN belum menjawab permohonan parti tersebut.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang itu memaklumkan akan mengetuai perbincangan PBM dengan BN untuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

