HASRAT Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan gagasan parti politik Melayu baharu hanya akan menguntungkan DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil berkata ini kerana bekas Perdana Menteri itu sengaja memecahkan undi Melayu disebabkan tahu sukar untuk menang dalam pilihan raya.
“Semalam Tun Mahathir beri bayangan dia akan tubuh gagasan parti politik Melayu yang baharu. Dia kata gagasan parti politik ini kononnya untuk menyatupadukan orang Melayu. Dia lupa selama ini dialah yang memecahkan perpaduan orang Melayu di Malaysia.
“Dia bergaduh dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dekat 30 tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PKR. Dia bergaduh dengan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dekat 15 tahun lepas lalu lemah orang Melayu dan hilang dua pertiga kerusi di Parlimen.
“Dia bergaduh dengan (Datuk Seri) Najib Razak dekat tujuh tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PPBM (Bersatu). Dia bergaduh dengan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dua tahun lepas lalu berpecah PPBM tertubuh Pejuang.
“Dia kalah pilihan raya di Johor hilang deposit di semua kerusi lalu dia tak puas hati dan ingin tubuh gagasan parti Melayu untuk pecah lagi undi Melayu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Isham berkata, Dr Mahathir tidak kisah kesusahan rakyat atau kaum Melayu kerana sejak dulu kerap beritahu jangan iri hati dengan orang kaya serta meminta rakyat ikat perut jangan harap bantuan kerajaan.
“Jika dia berjaya pecah undi Melayu, maka PH dan DAP akan menang dan untung. Mungkin ini rancangan sebenar dia, sebab ramai kroni-kroni dan taikun-taikun yang sokong dia juga sokong PH dan DAP.
“Siapa yang undi Mahathir dan gagasan parti baru dia ini akan undi kroni, taikun dan sanggup ikat perut bila susah kerana untuk jaga orang kaya,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir memberi bayangan mengenai penubuhan sebuah gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam.
Pengerusi Pejuang berkata penubuhan gagasan itu dalam usaha menyatupadukan semula kaum Melayu untuk berjuang mempertahan Malaysia. – Malaysiapost

