2 anggota trafik iring anak Ahli Parlimen kena tatatertib

0
1

DUA anggota polis trafik yang mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenakan tindakan tatatertib.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

“PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat.

Mei lalu, polis membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

Klip video kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan mengiringi sebuah kenderaan dimiliki oleh orang awam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here