Zahid senarai tiga sebab PRU15 perlu disegerakan

0
1

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera demi membentuk kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dominan, kestabilan politik serta memperkasa pertumbuhan ekonomi negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata atas tiga teras pertimbangan itu adalah wajar sekiranya PRU diadakan secepat mungkin.

“Pertama Umno/BN harus dominan semula dalam kerajaan agar keputusan parti akan lebih ada tindakan segera dalam kerajaan.

“Isu pengeluaran wang KWSP adalah contoh diperlambatkan sedangkan parti sudah lama mendesak,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi BN, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, politik negara harus distabilkan semula untuk membolehkan kerajaan memberi fokus dan keutamaan terhadap isu rakyat.

“Contoh, masih ada lagi parti Bersatu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan walaupun tempoh pilihan raya kurang daripada setahun,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha memperkasa pertumbuhan ekonomi, Ahmad Zahid berkata, dasar dan tindakan lebih bersepadu diperlukan membawa negara keluar daripada ketidaktentuan ekonomi.

“Kesemua ini memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil. (Justeru), PRU perlu diadakan seawal sedaya boleh berdasarkan tiga teras pertimbangan ini.

“Jika terus dilambatkan PRU maka ia melambatkan ketiga-tiga perkara tersebut yang saling berkaitan antara satu sama lain,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menggesa PRU15 diadakan segera selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat bulan lalu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, faktor ‘feel good’ yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN perlu diambil kesempatan, sekali gus menyegerakan PRU15.

Katanya, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Persekutuan September tahun lalu yang berakhir 31 Julai lalu mempersetujui PRU15 harus diadakan selepas Julai.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini turut membayangkan PRU15 mungkin diadakan lebih awal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here