Nasib 4 Adun P Pinang sertai pembangkang diketahui Jumaat ini

0
1

NASIB empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang yang menarik sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai blok pembangkang akan ditentukan dalam mesyuarat Exco Jumaat ini

Empat Adun berkenaan adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya, bekas wakil rakyat PKR), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh, bekas wakil rakyat PKR), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam, Bersatu) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang, Bersatu).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, hari ini, yang memutuskan undang-undang tubuh negeri menghalang lompat parti menepati Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, hari ini yang mengisytiharkan, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia tidak bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan itu merupakan hasil yang sangat diingini bagi menentukan keperlembagaan Perkara 14A Undang-Undang Tubuh Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keempat-empat Adun berkenaan sebelum ini telah memfailkan saman pemula terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speaker DUN untuk menghentikan empat kerusi dimenangi mereka daripada diisytiharkan kosong.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bermesyuarat pada hari Jumaat,ini untuk membincangkan tindakan seterusnya,” katanya.

Keempat-empat wakil rakyat berkenaan sebelum ini juga bertindak memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.

Usul itu ditangguhkan demi memastikan tidak berlaku pilihan raya negeri ketika pandemik, mengambil kira kes jangkitan Covid-19 melonjak selepas pilihan raya negeri Sabah diadakan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Chow Kon Yeow

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here