PBM tak layak jadi komponen BN

0
1
Exco Pemuda Umno Malaysia Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) disifatkan tidak layak untuk dipertimbangkan menjadi parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN).

Exco Pemuda Umno Malaysia Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, berkata pucuk pimpinan BN perlu mengambil kira tahap kesetiaan dan setiakawan bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kerap melompat parti.

“Saya nak bertanya kepada Yang Berhormat (YB) Datuk Zuraida, sudi ke nak bersama dengan parti yang Datuk sudah cemuh dan hina sewaktu dalam PKR dan Bersatu dahulu? Sekarang bila dah dalam PBM nak bersama dengan BN pula.

“Parti yang mana satu ni sebenarnya yang YB nak? Tak penat ke asyik melompat-lompat parti mencari dahan nak bergayut?

“Jangan lupa YB dahulu dipilih oleh rakyat di Ampang untuk menjadi wakil rakyat dan bukan wakil katak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, BN perlu berhati-hati dengan gerakan Ahli Parlimen Ampang itu yang telah memberi janji palsu kepada rakyat di Ampang menerusi janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dahulu.

“Apa yang YB lakukan? Jangan sesekali menuding jari pada PH hanya kerana YB sudah khianat.

“YB juga merupakan Pemimpin PKR ketika itu yang menggubal “Manifesto Scam” tersebut dan YB juga bukan hanya khianat kepada PH tetapi mandat rakyat sebenarnya,” katanya.

Shahrul Nasrun menyarankan Zuraida menyertai pakatan baharu yang sedang dirangka oleh DAP, PKR dan Amanah iaitu ‘Khemah Besar’.

“Kenapa hendak bersama dengan BN? Kenapa tidak bersama “khemah besar”? Adakah kerana YB sudah melihat bagaimana kepercayaan rakyat sudah kembali kepada BN di PRN Melaka dan Johor, kemudian terhegeh-hegeh hendak bersama BN,” katanya.

Beliau secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Zuraida kerana ingin menjadi komponen BN, namun menurutnya BN khususnya Umno sudah serik dengan pengkhianatan selepas PRU14 lalu.

“Minta maaf, kami sudah serik untuk bersama dengan pengkhianat rakyat seperti YB, cukuplah kami bersama dalam keluarga BN ini dan lakukan yang terbaik buat rakyat Malaysia, terima kasih PBM, maaf kami sudah ada keluarga sendiri,” katanya.

Pada Julai lalu, PBM dilaporkan telah menghantar surat permohonan untuk menjadi salah satu parti komponen BN tetapi sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas daripada pucuk pimpinan BN secara rasmi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here