BEKAS Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Julai ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata Zulkifeli menggantikan Jeneral Tan Mohd Azumi Mohamad yang bersara pada 30 Jun lalu.
“Saya yakin, melalui pengalaman beliau yang luas serta kepakaran dalam pelbagai portfolio, pelantikan ini tepat pada masanya.
“Ia juga selaras hala tuju negara yang sedang melakar perjalanan ke arah pendigitalan bagi mencapai status ekonomi digital dan berdaya saing.
“Semoga pelantikan ini akan terus memacu CyberSecurity Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya menerusi kenyataan.
Zulkifeli pernah memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat ke-23 pada 21 Mei 2010 seterusnya dilantik Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-18 pada 15 Jun 2011 dan bersara pada 14 Jun 2017.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 44 tahun dalam bidang perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan serta menggalas pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Sumbangan beliau yang begitu signifikan di dalam bidang keselamatan telah mendapat pengiktirafan apabila dilantik Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018.
Beliau adalah pemacu utama pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara 2017, penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 serta terlibat sepenuhnya dalam pembentukan Agensi Keselamatan Siber Nasional atau NASCA. – Malaysiapost
Kredit Foto: NSTP

