SEORANG pemimpin pembangkang membidas Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang didakwa tidak faham kandungan persefahaman politik antara Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata ini kerana dokumen persefahaman tersebut yang ditandatangani pada September tahun lalu itu bukan rahsia.
“Macam mana nak jadi pemimpin bila benda basic (asas) pun Nur Jazlan gagal nak faham. Bukannya dokumen MoU ni dokumen rahsia ke apa.
“Mungkin dia tak baca sepenuhnya? Atau sengaja tak nak faham atas sebab-sebab tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam Nur Jazlan dilaporkan berkata MoU persefahaman politik antara PH dengan kerajaan yang berakhir semalam telah membebaskan kerajaan daripada terus dimanipulasi pembangkang.
Nur Jazlan mendakwa pemimpin PH licik memanipulasi isu dan mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh MoU berkenaan.
Mengulas lanjut Fahmi menjelaskan MoU tersebut tidak tamat semalam berdasarkan Perkara 2.1.
“Dalam bab ‘gencatan politik’ tu pun, tugas dan peranan Pakatan Harapan sebagai Pembangkang juga ditulis dengan jelas (Perkara 9.1). Dokumen MoU mana yang Nur Jazlan baca ni?,” tulisnya. – Malaysiapost

