JENAZAH Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Zohor hari ini.
Perkembangan itu dikongsi pengendali laman Facebook bekas Menteri Besar Selangor itu pagi ini.
Menurut laman Facebook itu, jenazah akan dimandikan serta kafan di Masjid Saidina Umar Al Khattab di Bukit Damansara Kuala Lumpur bermula jam 8 pagi disusuli solat jenazah pada jam 10 pagi.
Penghormatan terakhir pula akan diadakan di Masjid Negeri di Shah Alam bermula jam 11 pagi sehingga 1 tengah hari, disusuli solat Zohor dan solat jenazah.
Allahyarham meninggal dunia malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur pada jam 11.08 malam tadi.
Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
Beliau meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.
Abdul Khalid pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.
Selain pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, antara tahun 2008, 2013 dan 2018.
Sebelum menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd dari 1995 hingga 2003. – Malaysiapost

