DINAMIK politik mutakhir ini akan meletakkan saf kepimpinan Umno baik dalam kepimpinan parti mahupun kerajaan berada di landasan yang sama dan serupa.
Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata adalah tidak wajar jika ada lagi ‘denyut pandangan sumbang’ yang membangkitkan rasa marah dan syak wasangka di dalam kepimpinan parti.
“Ini waktu dan ketikanya, hela dan gema nafas kepimpinan berdegup di paras gelombang dan tahap yang sama.
“Kita sudah terlalu jauh menyeberangi ombak rasa kurang senang dan keraguan yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebarang keputusan baik yang mengukuh kepercayaan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN)mesti diambil sebagai azimat kekuatan.
Katanya, seluruh kepimpinan Umno baik di Pusat, negeri dan bahagian serta akar umbi perlu bersedia sebaiknya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tidak wajar ada lagi sekelumit ruang untuk kita berbeza pandang. Yang ada hanyalah ruang memperkasa parti, mencari jalan dan wadah kemenangan dalam PRU yang akan datang.
“Rangkuman kekuatan fikir dan tindakan Presiden, Perdana Menteri, Timbalan Presiden, Ahli MKT, Anggota Jemaah Menteri akan meletakkan Umno di kedudukannya yang paling kukuh dan kuat.
“Pada pandangan saya, palu genderang sebenar PRU15 sudahpun bermula. Segala kekuatan Umno yang ada mestilah dihalakan ke akar tujuan yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, keputusan penting yang berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini memberikan indikasi jelas kepimpinan kerajaan dan Umno mutakhir ini tidak gentar untuk memulakan ruang perubahan dan transformasi politik.
“Kejayaan ikhtiar Pindaan Perlembagaan yang wajar dilakukan bagi memastikan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dilaksanakan dengan cukup kemas dan tuntas.
“Kejayaan ini pastinyalah terlaksana dengan komitmen jelas Perdana Menteri dalam mengukuh persefahaman dan persetujuan rentas parti,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan Umno menangguhkan pemilihan parti seakan mengesahkan bahawa janji dan komitmen sewaktu menyokong usul di Perhimpunan Agung Khas Umno terlaksana tanpa sebarang keraguan.
“Perdana Menteri ternyata seorang yang tidak gemar memungkiri janji. Malah menidakkan sama sekali ‘teori dan anggapan’; beliau mempersiap landasan kukuh buat dirinya sendiri.
“Tindakan politik seorang Perdana Menteri yang belum pun genap setahun usia pentadbiran ini amat luar biasa berani. Dalam banyak hal, beliau sentiasa mengutamakan dan mendahulukan parti,” katanya. – Malaysiapost

