SEORANG lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes menahan dan memecahkan cermin sebuah kereta seorang wanita dalam kejadian di Simpang Empat, Limbat, Kelantan, Khamis lalu.
Perintah reman ke atas buruh berusia 45 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Kota Bharu, Mohammad Fitri Mokhtar bermula hari ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki berkenaan ditahan di hadapan sebuah kedai di Nilam Puri petang semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ugutan jenayah, Seksyen 279 Kanun Keseksaan memandu dengan berbahaya di jalan awam dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat harta benda,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan wanita berusia 35 tahun memandu berseorangan telah dihimpit oleh suspek yang turut memandu kereta.
Suspek kemudiannya, secara tiba-tiba bertindak menghalang laluan mangsa dengan berhenti di tengah jalan.
Suspek kemudian menghampiri kereta mangsa sebelum memecahkan cermin kereta dan mengugut mangsa. – Malaysiapost
Kredit Foto: Twitter @redzuanNewsMPB

