KANAK-KANAK yang sebelum ini menghidap ‘Germ Cell Tumour’ sejak berusia sembilan bulan dan kemudian berjaya menjalani pembedahan di London, United Kingdom (UK), Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini dilaporkan kritikal.
Menurut ibunya, Nurul Erwani Zaidi, Ainul Mardhiah kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan doktor memaklumkan keadaannya agak kritikal dan tenat.
Nurul Erwani berkata, Ainul Mardhiah mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.
“Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni. Mama tak minta banyak. Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ni jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ni.
“Ainul mula dengan muntah muntah dan cirit birit dalam masa sehari. Hari kedua mama tengok Ainul dah tak bermaya sangat. Sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ni.
“Terus bawa ke Emergency. Doktor buat prosedur dan beritahu rupanya Ainul dah terlalu tenat sebab infection dah ada dekat semua tempat. Mama rasa gagal sebab tak beri perhatian pada Ainul. Doakan ya semua,” kongsinya di laman Instagram hari ini.

Nurul Erwani turut berkongsi video keadaan anaknya ketika dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans dan menitipkan pesanan kepada orang ramai agar lebih berwaspada dengan penularan virus meskipun hanya duduk dirumah sahaja.
“Masa ni naik ambulans ke Emergency. Ingat ya semua. Sekarang ni virus dah dekat mana-mana. Walaupun Ainul duduk rumah je, jaga kebersihan pun kalau nak jadi memang akan jadi. Virus ni jahat betul kacau anak mama sampai jadi macam ni.
“Ainul tidur dulu ya sayang, nanti Ainul dah bangun kita main sama-sama lagi,” katanya.
Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian negara pada 2019 dan ramai pihak tampil membantu termasuk pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu kanak-kanak itu menjalani pembedahan di London.
Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan selepas bertarung nyawa selama lima jam pada 10 Jun 2019 dan tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulutnya berjaya dikeluarkan. – Malaysiapost

