USAHA kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melahirkan generasi muda bebas merokok seharusnya dilihat dari sudut positif demi kepentingan bersama.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kementeriannya percaya, generasi yang tidak merokok bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat sihat serta produktif, malah mengurangkan risiko ancaman penyakit kronik.
Justeru, katanya, KBS berharap langkah untuk melahirkan generasi bebas merokok perlu disokong secara holistik.
“Pada masa sama, KBS menyeru seluruh rakyat kekal mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan.
“Rakyat Malaysia khususnya golongan belia dijemput bersama-sama KBS dengan menyertai pelbagai program riadah dan sukan yang dianjurkan pihak kementerian ini.
“Pelbagai aktiviti ini bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi mengeratkan ukhuwah seluruh Keluarga Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Faizal berkata, pihaknya percaya ibu bapa juga menyokong usaha menghalang generasi masa depan daripada merokok demi kesihatan mereka.
“Semoga langkah murni untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sihat dapat dipermudahkan. Katakan tidak kepada merokok!,” katanya. – Malaysiapost

